Sunday, January 3, 2016

Rumusan : )

Kesimpulan nya disini itu bukanlah memaksa para mukmin untuk menghentikan kajian sains tentang kitaran hujan setakat peringkat kejadian awan sahaja. Realitinya, sebahagian mufassirin ada membincangkannya. Imam Ibnu Katsir melalui tafsirnya tidak pun menolak terbentuknya awan-awan di langit hasil dari wap-wap air dari laut. Begitu juga Sidi Abdul Qadir Al-Jailani melalui tafsir sufinya secara tidak langsung. Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili pula jelas-jelas mengatakan sumber hujan ini datangnya melalui wap-wap air laut yang tersejat dengan memesrakan penemuan sains ini dengan apa yang diutarakan oleh Al-Quran.
Dari sudut lain, runtuhnya dakwaan yang mengatakan anggapan bahawa hujan itu berasal dari laut atau secara spesifiknya wap-wap air laut adalah pandangan Muktazilah semata-mata! Jika benar, mengapa pula mufassirin seperti Ibnu Katsir, Abdul Qadir Al-Jailani, Wahbah Az-Zuhaili tanpa segan silunya ke arah mendokong kenyataan ini. Jika benar sekalipun ia datangnya dari Muktazilah, ia tidak pun memudaratkan pendokong-pendokong kenyataan ini dari kalangan Sunni. Demikian kerana Muktazilah tidak pernah pun meletakkan bicara asalnya hujan dari laut semata sebagai dasar-dasar akidahnya! Lagipun, akidah jenis apakah yang menjadikan isu datangnya hujan dari air laut sebagai pegangan mereka yang utama? Akhirnya, pandangan ini tinggal menjadi semata-mata pandangan dan bukanlah ciri eksklusif bagi golongan-golongan tertentu. Paranoid terhadapnya pula dilihat sebagai melucukan.
Oleh itu, pentingnya berlaku adil dan waras dalam berfikir. Lebih-lebih lagi jika perkara-perkara yang berkaitan dengan kejadian-kejadian alam yang memerlukan analisa yang halus sebelum membuat sesuatu keputusan. Tidak cukup hanya memetik sepotong dua nas-nas dari mana-mana sumber, ditambah lagi dengan tafsiran yang semberono dan tergesa-gesa tanpa mengambilkira mujmal-mufassalnya, am-muqayyadnya serta mubham-mufassarnya. Lebih buruk, jika disilap tafsirkan kemudian menyalahkan pula penemuan-penemuan yang sudah sekian lama diterima umum.
“Wallahu a’lam”

No comments:

Post a Comment